PETALING JAYA – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kecewa apabila didakwa dihalang daripada menggunakan kemudahan gimnasium atas alasan menggunakan kerusi roda.
Menerusi akaun Twitter Jason King, lelaki OKU itu memuat naik sebuah video berserta luahan rasa kecewa selain memberitahu tidak menghadapi masalah sewaktu menggunakan gimnasium itu sebelum ini.
“Dah beberapa bulan aku dok mai gym (gimnasium), tiba-tiba hari ni aku diberitahu lepas ni aku tak boleh masuk gym dengan alasan keadaan aku yang berkerusi roda dan faktor keselamatan.
“Bila ditanya tentang peraturan dan polisi, dia dok pusing cakap bahaya la, apa la,” katanya pada hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Jason King memberitahu, ini kali pertama dia pergi ke gimnasium yang tidak membenarkan OKU masuk.
“Saya rasa sungguh kecewa dengan segelintir masyarakat kita yang masih bersikap diskriminasi terhadap golongan OKU. Mohon ambil cakna tentang isu begini.
“Harap kerajaan kita ambil berat berkenaan isu diskriminasi OKU di dalam negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE