KEMAMAN – Seorang kelindan maut manakala adiknya pula cedera parah apabila lori membawa muatan perabot dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 301, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Kijal di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 3.05 pagi, mangsa, Mohd. Shahrizan Abu Bakar, 42, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki, manakala adiknya Muhammad Shafiq Shahdan, 24, yang memandu lori tersebut pula cedera parah pada bahagian muka dan bahu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, dua beradik itu dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar perabot ke Kuala Terengganu dari Muar, Johor.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori membawa muatan perabot dinaiki kedua-dua mangsa berkenaan dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas. Ia menyebabkan lori itu tersebut terbalik dan terseret sehingga merempuh pembahagi jalan,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, mayat Mohd. Shahrizan yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba.- KOSMO! ONLINE