Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Penduduk di sekitar kawasan Batu Maung di sini dinasihatkan agar tidak panik dengan perkembangan kes membabitkan seorang pengunjung restoran makanan di Lintang Batu Maung di situ yang disahkan positif Covid-19 susulan arahan penutupan sementara premis terbabit mulai Khamis lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, keadaan di kawasan berkenaan masih terkawal setakat ini dan selamat dikunjungi oleh orang awam terutama penduduk setempat serta pengunjung luar.
Menurutnya, tinjauan pihaknya ke kawasan terlibat pada pagi semalam adalah berikutan penyebaran maklumat berkaitan penutupan restoran yang menyajikan masakan Cina itu sehingga dikatakan telah menjejaskan rutin harian penduduk dan peniaga berhampiran.
“Restoran berkenaan telah menerima notis tutup premis mulai 22 Oktober hingga 5 November ini dan telahpun disanitasi. Pekerja yang juga kontak rapatnya juga telah menjalani saringan Covid-19.
“Orang ramai diminta jangan terlalu panik dan lalai dalam mematuhi prosidur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mengamalkan jarak fizikal serta mengimbas suhu sebelum memasuki mana-mana premis.
“Kita perlu membiasakan diri dengan dengan norma baharu ini dan kekal kuat dengan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau premis yang diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Lintang Batu Maung di sini semalam.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit di kawasan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Ah Chong, 47, memberitahu, peniagaannya terjejas selepas penyebaran berita penutupan premis makanan berkenaan Khamis lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan media cetak.
“Jumlah pelanggan yang datang ke kedai berkurangan sehingga 40 peratus berbanding sebelum ini disebabkan gambar premis itu disiarkan baru-baru ini.
“Rata-rata pelanggan terutama penduduk di sini ada mengatakan yang mereka takut untuk mendekati kawasan premis itu dan terpaksa keluar jauh untuk membeli barangan rumah,” ujarnya. – K! ONLINE