PUTRAJAYA – Universiti Filipina (UP) menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau Honoris causa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis yang diadakan di Manila, Filipina, hari ini.
Anwar dianugerahkan penghormatan itu kerana disifatkan sebagai seorang sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.
Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP, Jose Wendell Capili berkata, Anwar dihormati kerana memiliki prinsip menentang rasuah dan pengurusan terhadap ekonomi Malaysia semasa krisis kewangan Asia.
“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal (pejuang kemerdekaan Filipina).
“Minat Anwar terhadap Rizal semakin mendalam setelah kerap mengunjungi universiti ini (UP) semasa muda di bawah bimbingan mendiang Prof Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains, Diliman Cesar Adib Majul,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menerusi perkongsian di laman media sosial, Anwar turut memaklumkan beliau telah memulakan acara hari kedua di Republik Filipina dengan menghadiri majlis meletakkan kalungan bunga sebagai penghormatan kepada Jose Rizal di Taman Rizal di Manila.
“Taman itu dinamakan atas nama Jose Rizal sebagai mengingati beliau yang dihukum bunuh di kawasan taman tersebut. Ia adalah peristiwa terpenting dalam menyemarak obor Revolusi Filipina mendobrak imperialisme Sepanyol sekitar kurun ke-19.
“Kemudian, saya langsung ke UP untuk menyampaikan syarahan umum berjudul ‘30 Years After The Asian Renaissance: Strategic Takeaways for ASEAN sesudah menerima ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) Doctor of Law dari universiti tersebut,” ujar beliau.
Menurut Perdana Menteri, dalam ucaptamanya, beliau menyentuh sejarah penubuhan ASEAN serta kemajuan dan perubahan dari segi kerjasama antara negara tetangga di rantau Asia, dan menekankan bahawa perserikatan itu mesti terus terpahat atas hujah berkongsi identiti yang sama meski rencam bangsa dan budaya.
“Konsep ini dicerakinkan dengan baik oleh ‘The Great Malayan’ Dr. Jose Rizal dalam ‘The Philippines a Century Hence’ tatkala Filipina tertubuh kuat meski berlainan kepulauan, bahasa, budaya dan etnik.
“Selain itu, saya amat berharap ASEAN terus berpadu dan kukuh dalam menyikapi isu-isu mendesak terutamanya di rantau ini kerana berdiam diri tatkala berdepan kezaliman bukanlah pilihan,” katanya.
Tambah Anwar, beliau turut menghimbau sejarah lampau tatkala sering ke Manila sebagai seorang mahasiswa dan UP adalah lokasi yang akan pasti dikunjungi untuk perbincangan terkait pelbagai hal bersama sahabat-sahabat di sana.
“Justeru, Manila sangat istimewa dan bukanlah kota asing buat saya secara peribadi,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar tiba di Filipina semalam bersempena lawatan rasmi dua hari yang juga merupakan lawatan sulung beliau ke negara republik tersebut selepas dilantik sebagai perdana menteri hujung tahun lalu. – KOSMO! ONLINE