fbpx

Jangan jadikan masjid tempat bina jurang pemisah – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin menyampaikan watikah perlantikan pada Majlis Istiadat Pengurniaan Tauliah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Negeri Selangor Darul Ehsan di Balairung Seri, Istana Alam Shah. FOTO: Saddam Yusoff

KLANG – Masjid tidak seharusnya menjadi tempat membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, amat mengambil berat tentang pentingnya perpaduan dan persaudaraan umat Islam di Selangor.

“Beta amat tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian. Masjid hendaklah menjadi tempat yang bebas dari sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian.

“Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak. Jika perkara ini berlaku ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,” titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor 2023-2025 di Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menjelaskan baginda telah menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak membenarkan orang-orang politik untuk menjadikan masjid dan surau sebagai pentas ceramah politik.

Tegas baginda, program memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

Malah penceramah-penceramah luar negara pun hanya diberi kebenaran untuk menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyber Jaya sahaja.

“Dalam hal ini, Beta menitahkan para Nazir untuk memperuntukkan sebahagian dari kewangan masjid untuk menyediakan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) yang boleh merekod dan memantau semua aktiviti ceramah. Selain itu, dengan kelengkapan ICT ini membolehkan setiap perjalanan ceramah boleh dibuat secara live atau atas talian yang boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir dan yang lebih penting mudah untuk dipantau dan dirujuk semula apabila diperlukan.

“Melalui penggunaan teknologi ini juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah online. Ini boleh mengelakkan berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini,” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharfuddin menasihatkan kepada semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisyen, telus dan profesional.

“Sebarang keputusan yang diambil oleh nazir serta jawatankuasa hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan serta titah Beta. Kegagalan mematuhi segala peraturan dan titah Beta membolehkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggung-jawab,” jelas baginda. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI