fbpx

Ibu mengandung didakwa tiga pertuduhan berkaitan tawaran haji, umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG ibu mengandung yang juga merupakan pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan berkaitan tawaran haji serta umrah. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Seorang ibu mengandung yang juga merupakan pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan berkaitan tawaran haji serta umrah.

Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd. Majid, 39, membuat pengakuan berkenaan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 27 Disember tahun lalu sehingga 27 Januari lalu kira-kira pukul 8.46 pagi hingga pukul 9.52 malam di sebuah pondok agama di Kuala Talang, Tanjung Ipoh telah menipu seorang warga emas lelaki dengan memperdayakan untuk memindahkan wang berjumlah RM14,000.

Warga emas berkenaan mempercayai tertuduh menawarkan pakej umrah dan haji bagi tahun 2023.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 27 Disember tahun lalu sehingga 12 Januari lalu kira-kira pukul 9.52 pagi hingga pukul 3.26 petang di lokasi yang sama, didapati telah menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bagi pertuduhan ketiga, pada 24 Januari lalu hingga 27 Januari kira-kira 8.46 pagi hingga 2.29 petang di lokasi yang sama, tertuduh telah menawarkan pakej haji tanpa memegang lesen pengelola Jemaah Haji yang dikeluarkan oleh Tabung Haji.

Tertuduh dalam rayuannya memohon Majistret memberikan jaminan paling minima memandangkan dia merupakan seorang ibu yang menanggung tujuh orang anak, selain adik yang sedang belajar di universiti dan urusan keluar.

“Saya sekarang mengandung dan kewangan saya sangat sukar sekarang ini. Saya mohon jaminan paling minimum sebab saya hanya ada RM3,000 ke RM4,000 sahaja sekarang,”ujarnya.

Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM11,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 3 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI