PETALING JAYA – Masih terkait dengan gosip pelakon dan penyanyi era 1980-an berkahwin muda, laman sosial milik isteri ND Lala, Fauziah Sarman terus menjadi tumpuan netizen.
Perkongsian terbaharu ibu kepada penyanyi Shila Amzah dalam laman sosial yang mengundang tanda tanya apabila mengatakan memilih berdiam diri sebagai tindakan terbaik.
Namun, tambahnya dia tidak takut bersuara sekiranya sikap ditunjukkan membuatkan dirinya ditindas.
“Jika sekiranya diam itu bijak, lakukanlah tetapi ketika bijak itu diinjak, bicaralah,” tulisnya dalam Instagram.
Turut menyertakan tanda pagar Allah tak tidur selain bersyukur untuk segala-galanya, Fauziah juga memuat naik gambar berada di sisi ND Lala dalam hantaran sama.
Dalam ruangan komen, ada dalam kalangan pengikutnya bersetuju dengan pendirian diluahkan wanita itu.
“Saya suka kapsyen aunty Zie (Fauziah),” kata seorang netizen.
Manakala pengikut lain pula membuat sangkaan luahan tersebut menjurus kepada perkara lain, bukan berkenaan gosip suaminya.
“Anak-anak masa dia ada masalah saja cari mak bapa, bila dapat kebahagiaan dia lupa mak bapa,” komen pengguna lain.
Dalam ruangan sama, seorang lagi pengikut Fauziah menyatakan perkongsian itu mempunyai maksud tersirat.
Apa pun tanggapan warga maya, situasi berkenaan dilihat tidak menggoyahkan kemesraan pasangan terbabit.
Malah kelmarin, ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi kesyukuran apabila perkahwinannya dengan ND Lala sudah mencecah tahun ke-35.
“35 tahun…alhamdulillah,” tulisnya yang disertai emoji hati dan cinta.
Secara tidak langsung, perkongsian gambar yang menunjukkan kegembiraan mereka itu menangkis tekaan ramai.
Sementara itu usaha Kosmo! Online mendapatkan kepastian ND Lala tidak berhasil, manakala pembantu peribadi kepada Shila, Aini pula menyatakan penyanyi itu sibuk membuat persediaan konsert solo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu ini.- KOSMO! ONLINE