PUTRAJAYA – Institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sabah akan terus ditutup sehingga 9 November depan.
Keputusan itu selaras dengan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah dari 27 Oktober ini hingga 9 November depan.
KPM dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal www.moe.gov.my,” jelas kenyataan itu.
Kosmo! 13 Oktober lalu melaporkan, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM di Sabah ditutup dari 13 Oktober hingga 26 Oktober selaras dengan pelaksanaan PKPB bagi tempoh sama. -K! ONLINE