JITRA – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang terjatuh ke dalam Sungai Korok di sini semalam ditemui mati lemas.
Mangsa yang belum dikenal pasti identiti ditemui terapung di sungai tersebut pada pukul 7.59 pagi tadi
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, operasi pencarian di tebing sungai telah menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung.
Kata beliau, mangsa dihanyutkan sejauh kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Buat masa ini, identiti lelaki itu belum dikenal pasti dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, operasi mencari mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 9 pagi ini selepas mangsa ditemui dalam tempoh kurang 24 jam.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Korok pada semalam.
Anggota bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.36 tengah hari semalam terus melakukan operasi mengesan mangsa.-K! ONLINE