KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi popular seberang, Acha Septriasa menyifatkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai wanita yang mempunyai sifat keibuan tinggi.
Pendapat tersebut terbukti apabila Acha atau sebenarnya, Jelita Septriasa, 34, dihadiahkan Aziah seutas tasbih dalam satu pertemuan sebelum menjayakan karakter ahli politik berpengaruh itu dalam filem Anwar, The Untold Story.
Katanya, Azizah turut membekalkannya makanan yang dimasak sendiri.
“Saya pernah berjumpa dengan Azizah, beliau merupakan sosok yang mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi.
“Ketika bertemunya di sebuah hotel, dia membekalkan saya dan Farid Kamil dengan lauk-pauk yang dimasak sendiri.
“Azizah juga memberikan saya gelang tasbih untuk selalu mengingati Allah dan secara tidak langsung mengingati dirinya.
“Itu adalah momen yang saya tidak dapat lupakan saat bertemu dengannya,” katanya kepada kepada Kosmo! Online.
Acha berkata demikian menerusi panggilan secara maya pada majlis sidang media filem lakonan terbaharu lakonannya berjudul Anwar The Untold Story yang berlangsung di ibu kota, sebentar tadi.
Pelantun lagu Sampai Menutup Mata itu menjelaskan, pertemuan dengan isteri kepada Perdana Menteri ke-10 itu sedikit sebanyak membantunya menjiwai karakter Azizah dalam filem berkenaan.
“Wan Azizah sosok yang amat damai dan percaya dengan takdirnya. Dia sangat yakin dengan keluarga dan Tuhannya.
“Azizah juga mempunyai semangat kepimpinan yang kuat kerana boleh memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah saat suaminya berdepan saat sulit,” tambahnya.
Selain Acha, filem arahan Viva Westi tersebut turut dibintangi aktor hebat lain seperti Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Dewi Irawan, Piet Pagau dan ramai lagi.
Anwar, The Untold Story mengisahkan jatuh bangun perjuangan Anwar Ibrahim dalam politik terutama melawan rasuah.
Filem yang diusahakan sejak Ogos 2011 tersebut siap dan bakal ditayangkan menjelang Mei 2023.
Berlatarkan sekitar 1993 hingga September 1998, naskhah terbitan Bianglala Entertainment berkenaan menyorot zaman Anwar menjawat jawatan Menteri Kewangan sehinggalah dijatuhkan daripada sistem pentadbiran negara.
Diolah daripada kisah benar, alur ceritanya mengenai ketegasan dan konsistensi Ahli Parlimen Tambun itu menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai sepanjang berkhidmat dalam kabinet Malaysia. – KOSMO! ONLINE