HULU TERENGGANU – Tujuh lelaki yang teruja pertama kali mendaki Bukit Balik Hidung di Kampung Paya Besar, Kuala Berang di sini panik apabila tersesat lebih dua jam sebelum diselamatkan bomba malam tadi.
Salah seorang daripada mereka yang berusia 17 hingga 29 tahun turut mengalami kekejangan otot sewaktu ditemui pasukan penyelamat pada pukul 8.30 malam.
Salah seorang mangsa, Mohammad Saiful Nizam Rusli,17, berkata, dia dan rakan-rakannya yang teruja untuk mendaki Bukit Balik Hidung setinggi 131 meter yang semakin terkenal sebagai lokasi aktiviti riadah di daerah berkenaan memulakan pendakian pada pukul 5 petang.
“Empat daripada kami bergerak menuruni puncak bukit pada pukul 6.15 petang sedangkan saya dan dua rakan lain berehat sekejap sebelum menuruti mereka beberapa minit kemudian.
“Begitu pun kami bertiga telah terpisah dengan kumpulan pertama sebelum menyedari tersesat dengan melalui kawasan denai sama beberapa kali,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohammad Saiful Nizam memberitahu, jeritan memanggil empat rakannya yang lain tidak disahut menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mendaki semula ke puncak bukit memandangkan hari sudah semakin gelap.
Tambahnya, tidak lama selepas tiba di puncak, dia telah menerima mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada salah seorang rakannya yang memaklumkan mereka juga telah tersesat.
“Salah seorang daripada kami kemudiannya menghubungi abangnya dan pihak berkuasa bagi meminta bantuan,” katanya. – K!ONLINE