LOS ANGELES – Pengasas syarikat SpaceX, Elon Musk kembali menjadi manusia terkaya di dunia selepas nilai saham syarikat miliknya, Tesla melonjak lebih 100 peratus sepanjang bulan Januari lalu, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut Indeks Billionaires Bloomberg, nilai kekayaan bersih Musk yang juga pengasas bersama jenama kenderaan elektrik itu telah melonjak sehingga AS$187.1 bilion (RM839.33 bilion), menjadikannya orang terkaya di dunia sekali lagi.
Beliau kehilangan gelaran tersebut pada Disember tahun lalu dengan tewas kepada bos Louis Vuitton, Bernard Arnault yang bertanggungjawab ke atas beberapa jenama mewah terkemuka dunia.
Kekayaan Musk yang kini merupakan warga Amerika Syarikat (AS) menjunam teruk berikutan pengambilalihan laman Twitter pada tahun lalu.
Bukan sahaja dia membelanjakan AS$44 bilion (RM197.38 bilion) untuk gergasi media sosial yang sedang bergelut itu, nilai saham dalam Tesla juga jatuh apabila pelabur-pelabur bersikap dingin terhadap kepimpinan Musk. – Agensi