ISKANDAR PUTERI – Bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor, PL87 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi semalam ditemui di Pulau Kepalajerih di Kepulauan Batam, Indonesia 1.45 tengah hari tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua empat kru tersebut ditemui dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, bot yang dilaporkan hilang itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sejauh 13 batu nautika sehingga memasuki perairan Indonesia.
“Bot PL87 itu ditemui oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada pukul 1.45 tengah hari tadi di kedudukan satu batu nautika di perairan Pulau Kepalajerih.
“Ketika ditemui, keempat-empat kru berada dalam keadaan selamat sementara bot dinaiki mereka mengalami kerosakan bateri hingga terputus komunikasi.
“Mereka kini berada di Indonesia, urusan membawa pulang semua mangsa sedang dijalankan antara Maritim Malaysia dengan TNI yang kita jangka dapat diselesaikan pada hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Sungai Pulai, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE