GEORGE TOWN – Pengusaha kedai barangan sekolah didapati menaikkan harga kelengkapan itu antara lima hingga 20 peratus ketika ini bagi menampung kos perniagaan mereka.
Rata-rata pengusaha kedai yang ditemui Kosmo! semalam mengakui berlaku perubahan harga mendadak membabitkan semua barangan termasuk kasut sekolah dan peralatan menulis.
Seorang pengusaha yang mahu dikenali Alex berkata, situasi ini berpunca daripada kenaikan kos bahan-bahan pembuatan seperti kain kapas, polister, kelengkapan dan upah menjahit serta nilai mata wang.
Ujarnya, ia menyebabkan dia juga terpaksa menaikkan harga kira-kira lima hingga 10 peratus bagi semua kelengkapan sekolah.
“Kenaikan yang paling ketara berlaku melibatkan kasut sekolah iaitu antara 10 hingga 12 peratus. Sebelum ini, harga kasut sekolah berjenama dijual RM50 sepasang, kini jadi RM60. Kasut jenama biasa pula dahulunya RM29.90 kini dijual RM32.90.
“Ketika ini, kenaikan harga barangan sekolah berlaku hampir di semua kedai dan ada terpaksa menaikkan hingga 20 peratus,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, seorang pengusaha premis yang dikenali Cindy berkata, rentetan itu menyebabkan ramai ibu bapa membeli baju dan kasut sekolah jenama biasa.
“Ada pelanggan yang sebelum ini membeli kasut sekolah berjenama berharga RM50 sepasang tetapi kini memilih kasut jenama biasa sekitar RM25 sepasang.
“Terdapat juga yang membeli baju sekolah anak bersaiz lebih besar. Contohnya, baju yang sesuai dipakai anak cuma saiz S tetapi ibu bapa beli saiz M.
“Alasan mereka kerana mahu jimat kos dan tempoh pemakaian baju sekolah antara setahun hingga dua tahun,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan rata-rata ibu bapa terpaksa berkira-kira membeli kelengkapan sekolah anak yang mencecah sehingga RM200 seorang.