HONG KONG – Bekas bapa mentua Abby Choi didakwa menjadi dalang di sebalik pembunuhan kejam model dan pempengaruh terkenal Hong Kong tersebut, lapor akhbar Daily Star semalam.
Bahagian mayat Choi ditemui di dalam periuk masakan milik bekas suaminya dan peti sejuk kepunyaan ibu bapa mentuanya di Hong Kong, dua hari selepas mangsa dilaporkan hilang Rabu lalu.
Susulan penemuan itu, empat suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan itu termasuk bekas suami mangsa, Alex Kwong, 28, bekas abang ipar bernama Anthony, 31 dan bapa mereka, Kwong Kau, 65.
Choi yang dilaporkan mempunyai nilai bersih kekayaan sekitar £11 juta (RM59.4 juta) berasal dari keluarga kaya dan mempunyai kepentingan perniagaan di China.
Mendiang didakwa telah mengatur agar bekas mentua dan dua anaknya tinggal di apartmen mewah dan membantu bekas abang iparnya membeli hartanah.
Menurut polis, Kwong yang juga bekas anggota polis adalah dalang di sebalik pembunuhan teliti itu melibatkan peralatan industri seperti pemotong daging dan gergaji elektrik.
Kwong dikatakan berang atas cubaan Choi untuk menjual sebuah apartmen bernilai kira-kira £7.7 juta (RM41.6 juta) yang didaftarkan atas nama suspek.
Butiran mengenai pembunuhan Choi telah mengejutkan orang ramai. Kepala mangsa disimpan di dalam sebuah periuk bersama beberapa tulang rusuk dan rambut manusia.
Superintendan Alan Chung berkata: “Terdapat lubang di bahagian belakang sebelah kanan tengkorak Choi, jadi pakar patologi percaya ia kesan akibat serangan maut ke atas mangsa.”
Polis mengesyaki Choi diserang di dalam kereta dan tidak sedarkan diri ketika tiba di rumah di mana bahagain mayatnya ditemui.
Mereka setakat ini tidak dapat mengesan bahagian tubuh mangsa yang hilang termasuk badan dan tangannya. – Agensi