MACHANG – Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan sesi pertemuan dengan syarikat pegangan pelaburan milik penuh universiti berkenaan, UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) pada minggu ini.
Pengerusinya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pertemuan itu bertujuan untuk berbincang dan mendapatkan gambaran sebenar mengenai beberapa dakwaan penyelewengan yang dihadapi UiTM Holdings sehingga mengalami kerugian mencecah RM175 juta.
Menurutnya, selepas sesi perbincangan bersama UiTM Holdings selesai, pihaknya akan meneruskan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk tindakan selanjutnya.
“Kita (UiTM) mahu tahu gambaran sebenar daripada pihak UiTM Holdings dan apa cerita sebenar. Jadi, saya akan bertemu dengan UiTM Holdings dalam minggu ini sebelum berjumpa dengan pihak SPRM.
“Bagaimanapun, kes yang melibatkan UiTM Holdings ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kami menyerahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Kemuncak Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, SPRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan UiTM Holdings mengalami kerugian mencecah RM175 juta. – KOSMO! ONLINE