KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi bagi keperluan mangsa banjir yang sedang melanda di beberapa negeri ketika ini.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, pihaknya sedang dalam proses menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas melalui program Food Bank Malaysia (PFBM).
Beliau berkata, KPDN akan memberi fokus bagi menghantar makanan sedia untuk dimasak selain barangan kering ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terjejas.
“KPDN sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa bagi menyalurkan bantuan segera melalui bank makanan di lokasi terkesan dan diselaraskan bilik operasi bencana banjir.
“Antara lokasi yang paling kritikal setakat ini adalah daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Rompin di Johor selain beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak,” katanya di Wakaf Tok Pelam di sini hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Jelajah Menu Rahmah dan penyerahan Bakul Rahmah peringkat Terengganu. – KOSMO! ONLINE