KOTA TINGGI – Peniaga di Jalan Niaga 3 di sini letih apabila acap kali terpaksa berdepan dengan situasi banjir pada hujung dan awal tahun.
Seorang peniaga, Nurul Syazwani Omar, 25, berkata, dia pernah terfikir untuk berpindah, namun berasa sayang apabila lokasi kedainya sekarang dianggap sebagai strategik kerana terletak di pusat bandar.
Katanya, namun dalam masa sama dia juga sudah penat kerana kedainya yang terletak dibahagian kawasan rendah antara terawal akan dinaiki air apabila banjir.
“Kami sedar pagi ini pukul 6.30 pagi selepas ayah mengejutkan kami dan lihat air sudah sampai paras buku lali. Mujur kami cepat bertindak mengemas barang dan sempat selamatkan semua barang di kawasan rendah.
“Dalam tempoh setengah jam sahaja air sudah mula naik sampai bawah lutut. Banjir berlaku kali ini memang mengejutkan kami tak sempat untuk buat persiapan awal.
“Biasanya hujung tahun dan awal bulan Januari hari itu kami memang sudah bersiap sedia jika banjir. Kali ini secara tiba-tiba. Mujur la tidak alami kerugian yang teruk,” katanya kepada pemberita di sini. – KOSMO! ONLINE