MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menggerakkan lebih 500 pegawai dan anggota ke 124 lokasi berisiko banjir susulan hujan lebat berterusan sejak lewat pagi tadi.
Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain berkata, kesemua anggota terlibat telah ditempatkan di lokasi masing-masing untuk membuat rondaan paras air sungai atau mengesan lebih awal sebarang risiko yang menyebabkan limpahan termasuk fenomena air pasang besar.
“Kita pun sudah tidak dapat menjangka gelombang banjir ini dan sebagai persiapan awal saya telahpun meminta pegawai dan anggota membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk banjir.
“Kita telah mengenal pasti 124 kawasan yang berisiko tinggi untuk banjir di seluruh negeri Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Perbarisan Tahunan 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, anggotanya juga akan memantau risiko bencana lain termasuk tanah runtuh yang membahayakan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Bukan banjir sahaja, malah kita akan pantau juga cerun untuk mengelak kejadian tanah runtuh yang mungkin membahayakan penduduk.
“Kita telah kesan 130 kawasan cerun dengan dua daripadanya diberikan tumpuan iaitu di Ayer Keroh dan Jasin,” katanya.
Terdahulu, pada program tersebut JBPM menerima tiga bot daripada Majlis Daerah Jasin san Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). – KOSMO! ONLINE