fbpx

Jaga anak bukan macam bela kucing – Hannah Delisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelakon jelita Hannah Delisha masih belum bersedia untuk memiliki zuriat dan memikul tanggungjawab bergelar seorang ibu.

Tegas wanita berusia 27 tahun itu, bergelar seorang ibu dan menjaga anak adalah satu amanah besar besar dan mengakui belum kuat memikul komitmen tersebut.

“Saya dan suami telah pun berbincang tentang perkara ini (memiliki zuriat). Untuk memiliki anak memerlukan tanggungjawab yang sangat besar. Jaga anak bukan seperti menjaga anak patung atau bela kucing.

“Menjaga kucing pun memerlukan tanggungjawab, apa lagi anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelakon kelahiran Singapura itu lagi, apabila sudah bersedia dan tiba masa yang tepat, dia perlu memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya terhadap anak.

“Kami mahu pastikan sudah betul-betul bersedia. Sebab saya tahu apabila ada anak nanti, kami kena betul-betul tumpukan perhatian dan masa untuk anak sebaik mungkin.

“Apabila saya sudah tidak terlalu sibuk nanti, insya-Allah baru saya akan merancang untuk memiliki zuriat. Tapi apa-apa pun semuanya berbalik juga kepada keizinan Allah SWT,” ujar Hannah.

Seperti pasangan lain yang sudah berumah tangga, Hannah dan suami, Imam Shah tetap merancang untuk memiliki zuriat suatu hari nanti, namun bukanlah dalam masa terdekat.

“Sejujurnya memang saya merancang untuk memiliki cahaya mata. Saya bukan kahwin, terus untuk dapatkan zuriat secepat mungkin.

“Saya rasa kagum melihat ibu yang bekerjaya, namun pada masa sama dapat menjaga dan memberikan tumpuan pada anak. Perkara itu bukan mudah.

“Saya melihat bagaimana ibu saya membesarkan saya dengan kepayahan sebagai seorang ibu tunggal. Memang sangat susah sebab pada masa saya dia perlu bekerja,” ujar Hannah usai pelancaran drama terbaharu lakonannya, Andai Itu Takdirnya di Dedi Cinema, Pavilion semalam.

Ketika disoal tentang reaksi keluarga kedua-dua belah pihak, pelakon drama 28 Hari Mencari Cinta itu bersyukur apabila mereka memahami tentang perkara tersebut dan tidak meletakkan tekanan terhadapnya untuk segera menimang cahaya mata.

“Alhamdulillah kedua-dua belah pihak memahami dan tidak meleyakkan tekanan pada saya dan suami untuk segera memiliki anak.

“Kalau mereka bertanya sekali pun, saya hanya cakap doakanlah yang terbaik untuk kami,” jelasnya.

Tentang jumlah anak yang diinginkan, Hannah dan Imam tidak pernah merancang tentang perkara itu, namun semolek-moleknya mahu diberikan sepasang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan untuk melengkapkan mahligai perkahwinannya.

“Namun jika diberikan rezeki lebih, empat orang cahaya mata pun dah ‘cantik’,” katanya.

Terdahulu, Hannah dan Imam mendirikan rumah tangga secara rahsia pada 2020 sehingga mengundang kontroversi apabila timbul spekulasi mendakwa perkahwinan tersebut tidak mendapat restu daripada ibunya.

Lebih menghangatkan situasi apabila ibu mentua Hannah, Mariana pula memuat naik hantaran berbaur sokongan kepada menantu dan anak lelakinya supaya terus kuat berdepan ujian hidup. Hannah bagaimanapun telah membuat permohonan maaf atas segala berita tidak enak membabitkan dirinya dan keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI