fbpx

Rasuah di laut, seorang lagi pegawai kanan ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk perintah reman. FOTO SUMBER SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek di Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’.

Difahamkan, rasuah itu diminta sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai bertugas sebagai pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

Katanya, suspek ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM, Kedah kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

“Penahanan suspek dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah menjadikan jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam kepada enam orang, manakala selebihnya lima orang awam.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini untuk permohonan reman,” katanya hari ini.

Perintah reman selama lima hari terhadap suspek bermula hari ini hingga 5 Mac 2023 dikeluarkan Majistret Nurshahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menegaskan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menahan reman 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI