JOHOR BAHRU – Hujan yang berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di seluruh negeri ini ditenggelami banjir.
Setakat pukul 8 pagi ini, seramai 1,591 mangsa banjir daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sehingga kini situasi banjir ini melanda empat daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat.
Beliau berkata, sebanyak lapan PPS dibuka sejak pukul 10 malam tadi diikuti 13 lagi sehingga pukul 3.20 pagi tadi.
“Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga dipindahkan ke enam PPS sejak malam tadi.
“Antara kawasan yang terkesan akibat banjir di Segamat ialah Pekan Air Panas, Kampung Tenang, Kampung Paya Merah, Kampung Gatom Labis dan Kampung Lembah Banti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, di Johor Bahru pula, seramai 560 mangsa banjir daripada 131 keluarga dipindahkan ke enam PPS.
Katanya, mangsa banjir tersebut antaranya merupakan penduduk Kampung Cahaya Baru Masai, Kampung Pasir Tebrau, Kampung Sungai Tiram, Kampung Paya Kenangan dan Kangkar.
Sementara itu, katanya, seramai 188 mangsa daripada 166 keluarga di Kluang ditempatkan di enam PPS yang baru dibuka.
“Antara mangsa banjir terjejas di Kluang melibatkan penduduk Kampung Palembang Baru, Kampung Palembang Lama, Kampung Bentong, Kampung Muhibbah Paloh, Kampung Sembrong dan Kampung Baru.
“Di Kota Tinggi pula, seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke tiga PPS. Kesemua mangsa adalah penduduk Kampung Sepak Hulu dan Kampung Sepak Hilir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE