MELAKA – Seorang pesara kerajaan maut selepas dirempuh sebuah kereta gara-gara menegur muzik dipasang dua individu di dalam kenderaan tersebut terlalu kuat di Plaza Pandan Malim di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia selepas 11 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Menurut anak mangsa berusia 20-an, kejadian berlaku selepas dia dan bapanya menegur dua lelaki menaiki kereta jenis Perodua Axia yang memasang muzik terlalu kuat di kawasan rumahnya di Kampung Padang dekat sini.
“Pada pukul 2.40 pagi saya dan ayah terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi muzik yang sangat kuat dari sebuah kereta Axia dan kami keluar menegur mereka untuk beredar.
“Kedua-dua mereka pada awalnya beredar, namun datang semula beberapa minit kemudian dengan membuat beberapa pusingan sambil memasang muzik kuat membuatkan kami keluar semula untuk menegur,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ujarnya, dia bagaimanapun tidak menyangka pemandu tersebut cuba melanggarnya sehingga terpaksa berlari ke arah belakang sebuah restoran 24 jam di bangunan plaza berdekatan untuk menyelamatkan diri.
“Kereta itu kemudian dilihat berpusing menuju ke arah ayah dan bertindak melanggar serta menyeretnya sejauh kira-kira 20 meter ke belakang kedai,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga sempat melihat ayahnya berpaut di atas bonet kereta tersebut sebelum terjatuh dalam keadaan berlumuran darah.
“Kedua-dua mereka yang dipercayai dalam keadaan mabuk telah melarikan diri, ayah pula disahkan meninggal dunia pada pukul 2.04 petang ketika dirawat di hospital, kini tinggal kami tujuh beradik dan ibu.
“Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun.
Katanya, pihak polis bagaimanapun masih mengesan seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE