PUTRAJAYA – Kerajaan Arab Saudi bersedia menerima segala aduan berhubung tindakan pengusaha hotel di Tanah Suci yang mengenakan caj mahal kepada agensi umrah Malaysia.
Malah, pengendali premis penginapan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas kerana ‘mungkir janji’ serta tidak mematuhi terma kontrak persetujuan yang dimeterai sebelum itu.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya sudah membawakan isu tersebut untuk dipanjangkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah.
“Kami sudah pun bawa isu ini ketika pertemuan dengan Dr. Tawfiq Fawzan semalam dan telah diambil maklum,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, katanya, kesemua 1,050 ahli Papuh diminta supaya mendaftar dalam aplikasi Nusuk yang dibangunkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi tujuan penyelarasan.
“Langkah itu demi memudahkan semua aduan rasmi dapat diambil tindakan segera kerana selama ini kami tidak tahu hendak mengadu kes kepada siapa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE