fbpx

MyWATCH gesa RUU Kawalan Tembakau segera lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok segera dibawa ke Parlimen dan diluluskan.

Presidennya, Roslizawati Md. Ali berkata, kerajaan tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan perlu meneruskan peruntukan Generasi Penamat atau Generational EndGame (GEG).

Kata beliau, sokongan kerajaan terhadap pelaksanaan GEG adalah penting bagi melindungi kanak-kanak dan remaja demi memastikan Malaysia dapat melahirkan generasi yang lebih sihat dan produktif.

“Saya merasa sungguh kesal selama ini masalah merokok terutama rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sukar dikawal dan telah semakin menular. Kita boleh nampak dengan jelas, anak-anak muda ini tanpa segan silu menggantung rokok elektronik di leher mereka.

“Lebih menjengkelkan lagi apabila mereka dengan bangganya menghembuskan wap rokok elektronik yang kononnya tidak membahayakan kesihatan.

“Justeru, RUU ini perlu dibawa ke Parlimen dan diluluskan, dan seterusnya digubal (enacted) dengan segera dalam pembentukan masyarakat Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Roslizwati berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman berkaitan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik.

Bagaimanapun, jelasnya, tanpa kawalan ketat terhadap pengiklanan dan promosi produk berkenaan dan hanya bergantung kepada percukaian semata-mata tidak akan memberi kesan untuk jangka masa panjang.

“Ia mestilah mematuhi Artikel 5.3 FCTC (Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau), apatah lagi Artike 13 (Larangan Pengiklanan, Promosi dan Penajaan Tembakau),” uajrnya.

Mengulas cadangan GEG tidak sepatutnya diteruskan ekoran memberi kesan kepada perniagaan tempatan yang bernilai RM2.49 bilion, Rislizwati berkata, ia merupakan satu kenyataan yang bersifat keuntungan dan mementingkan diri.

“(Kita) perlu cakna dan sensitif, serta harus prihatin dan pelaksanaan GEG hanya melibatkan mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jumlah pengguna rokok elektronik yang tidak tergolong dalam kumpulan generasi ini adalah lebih kurang 1 juta orang. Tak mungkin industri ini akan rugi kerana mereka masih mempunyai jumlah klien yang besar,” katanya.

Sebelum ini, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok dibentang kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.

Menurut rang undang-undang itu, individu yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI