ASUNCION, Paraguay – Polis Paraguay menemui mayat tujuh individu dalam keadaan reput di dalam sebuah kontena berisi baja yang tiba ke negara itu dari Serbia, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Mayat-mayat itu ditemui oleh salah seorang kakitangan sebuah syarikat pertanian di kota Asuncion.
Mangsa tersebut dipercayai daripada kumpulan migran haram, kata pendakwa raya Marcelo Saldivar kepada pemberita.
Pihak berkuasa perkapalan tempatan berkata, kontena itu meninggalkan Serbia pada Julai lalu sebelum kapal membawa muatan kargo itu melalui Mesir, Sepanyol dan Argentina sebelum tiba di Paraguay.
Beberapa kesan peninggalan makanan turut ditemui berdekatan mayat yang menunjukkan kumpulan itu sudah bersiap sedia untuk satu perjalanan jarak pendek, kata Saldivar.
Punca kematian kumpulan migran itu dipercayai akibat kekurangan oksigen, menurut doktor forensik Pablo Lemir yang mengesahkan bahawa tiga daripada tujuh mayat individu itu adalah dari Maghribi dan satu dari Mesir.
Mayat itu dipercayai lelaki dewasa, manakala baja yang berada di dalam kontena sama mungkin untuk mempercepatkan proses pereputan semua mayat.
Beberapa barangan peribadi mangsa seperti kad telefon turut ditemui pada mayat.
Saldivar berkata, pihak berkuasa Paraguay akan cuba berhubung dengan pihak Serbia melalui bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk proses mengenal pasti identiti mayat. – AFP