KEADAAN permukaan padang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang kurang baik mungkin boleh mengundang kesukaran buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perhitungan dengan Kuala Lumpur City (KL City) malam ini.
Walaupun pengendali KL City, Bojan Hodak turut akui situasi sekarang memberi kesan kepada pemainnya, namun The City Boys pastinya lebih terbiasa dengan keadaan padang kurang baik di venue berkenaan.
“Keadaan padang tidak begitu baik dan kita boleh lihat lantunan bola. Penjaga gol sentiasa berdepan kesukaran (lantunan sukar dibaca) dalam keadaan ini dan kena tunggu hingga ke lantunan terakhir.
“Saya dapat rasakan ia akan menjadi perlawanan yang menarik untuk disaksikan. Jadi mereka mungkin akan berdepan masalah untuk bermain di sini,” katanya.
Berbanding Harimau Selatan yang pastinya meraikan kejayaan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Terengganu 2-0, KL City pula mungkin terdesak untuk cari tonik selepas dipalit keputusan seri dengan Penang, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, di sebalik situasi memeningkan, Hodak pastinya menarik nafas lega kerana ketua pasukan, Paulo Josue terus pamer konsisten dan khidmat pemain naturalisasi itu bakal sekali lagi jadi taruhan.
“Paulo bermain agak baik (jaringkan dua gol ketika menentang Penang FC). Pastinya ia satu perkembangan yang bagus buat dirinya dan juga bagi kelab,” katanya.