PENDANG – Demi kasih kepada insan tersayang, seorang pemuda dari Kampung Chegar di sini sanggup mengetepikan kepentingan diri semata-mata untuk menjaga ibu bapa yang uzur sejak enam tahun lalu.
Mohd. Yusri Haiqal Mohd. Yusop, 33, berkata, sebagai anak tunggal dalam keluarga, dia memikul tanggungjawab besar untuk menguruskan keperluan bapanya, Mohd. Yusop Sulaiman, 63, yang kini terlantar sakit akibat angin ahmar.
Kata Mohd. Yusri, ibunya, Mahani Saleh, 58, pula disahkan menderita kanser payudara tahap tiga sejak 2021 sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada Oktober tahun lalu.
“Mak perlu jalani kemoterapi di Hospital Lama Alor Setar sebanyak enam kali diikuti radiografi di Hospital Pulau Pinang nanti. Jadi, saya terpaksa uruskan semua itu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia kini hanya bekerja sebagai pembantu am di sebuah kedai besi di Jalan Langgar di sini untuk menampung keperluan keluarga.
“Saya memerlukan pekerjaan yang fleksibel kerana ada harinya saya perlu bawa mak dan ayah ke hospital,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ketika ini dia tidak langsung memikirkan tentang masa depan seperti pemuda lain termasuk untuk berumah tangga melainkan mahu menjaga ibu bapanya dalam keadaan baik.
“Dahulu saya kerja kilang di Kulim dan apabila ayah sakit, saya perlu balik ke kampung.
“Buat masa ini, saya tak fikir lagi untuk berkahwin, lagipun siapalah yang mahukan orang seperti saya?” luahnya.
Sementara itu, Mahani menjelaskan dia disahkan menghidap kanser setelah mengesan ketulan pada payudara kanan sebelum.
“Tahun lepas, saya ambil keputusan untuk buang payu dara dan sekarang sedang jalani kemoterapi,” katanya
Tambahnya, perbelanjaan mereka banyak bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam 02084020262878 atas nama Mahani Saleh.