IPOH – Mengeluarkan mayat seorang ibu dan dua anak di bawah runtuhan bangunan dalam tragedi gempa bumi di Gaziantep, Turkiye awal bulan ini amat meruntun hati Pegawai Bomba Kanan I, Shahrul Nizam Murad, 47.
Shahrul Nizam yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping itu berkata, naluri bapanya cukup tersentuh apabila melihat wajah si kecil yang sudah tidak bernyawa erat dalam pelukan ibu.
Bahkan, bapa kepada lima anak itu juga menitiskan air mata menyaksikan jari si anak masih erat dalam genggaman ibu mereka.
“Pada hari keempat di sana, kami terima maklumat ada mayat di bawah runtuhan. Mulanya, kami lihat bahagian belakang kanak-kanak sebelum menjumpai seorang wanita di bawahnya seolah-olah sedang memeluk.
“Di samping mayat dua mangsa tersebut, terdapat seorang kanak-kanak lelaki sedang menggenggam tangan wanita itu. Keadaan mereka bertindih di bawah runtuhan lantai bangunan.
“Apabila selesai korek, barulah nampak satu persatu, memang masa itu saya sebagai bapa yang ada lima anak, rasa sedih sampai meleleh air mata,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE