LESMO, Itali – Pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis menyuarakan rasa tidak sabar untuk menyaksikan pasukan itu kembali menggegarkan pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi saingan 2023 yang akan bermula 27 Mac nanti.
Yamaha masih terkesan dengan kegagalan pelumbanya, Fabio Quartararo mempertahankan kejuaraan dunia selepas terpaksa menyerahkan mahkota tersebut kepada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia pada musim lalu.
Selain tewas dalam perebutan takhta dunia pelumba, pengeluar motosikal dari Jepun itu turut dikecewakan dalam kategori pengeluar apabila sekadar muncul naib juara di belakang Ducati.
“Kami menantikan saingan MotoGP 2023 dengan penuh optimis. Semua orang sudah tidak sabar untuk menunggu perlumbaan musim ini bermula, jadi kami mahu pastikan Yamaha mampu kembali memberi cabaran.
“Tahun lalu, semuanya serba tidak menjadi untuk kami. Saya fikir semua itu sudah pun berubah sekarang ke arah lebih baik dan saya percaya Yamaha tidak akan beri laluan mudah buat pencabar,” kata Jarvis.
Pada masa sama, beliau juga enggan menyalahkan barisan pelumbanya, Quartararo dan Franco Morbidelli atas kegagalan mereka memenangi kejuaraan kategori pengeluar, sebaliknya Jarvis terus memberikan sokongan kepada kedua-dua pelumba tersebut.
“Kami perlu jadikan pencapaian musim lalu sebagai pengajaran untuk memperbaiki prestasi pada saingan tahun ini. Sudah tentulah harapan saya untuk melihat pelumba-pelumba Yamaha mencatat keputusan terbaik,” ujarnya. – AGENSI