fbpx

Mahkamah: 13 Mac serahan bertulis Emilia Hanafi kes dipukul bekas suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emilia (kanan) semasa hadir di Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO SHIDIQQIN ZON

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 13 Mac bagi serahan kenyataan saksi secara bertulis berhubung kes ahli perniagaan Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Majistret Nadia Othman menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk Emilia memberikan keterangan bertulis berbanding keterangan secara lisan yang ditetapkan pendakwaan sebelum ini.

Semasa prosiding sambung bicara hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memaklumkan kenyataan saksi secara bertulis itu akan diserahkan kepada pihak pembelaan seminggu sebelum prosiding kes bermula.

“Kami sudah berbincang dan mencapai persetujuan bahawa pendakwaan akan serahkan kenyataan bertulis untuk mempercepatkan proses beri keterangan di mahkamah dan serahan akan dibuat secepat mungkin. Kenyataan saksi bertulis itu juga akan dibaca oleh pengadu di mahkamah,” kata Nur Aisyah.

Berikutan itu mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan seterusnya selama 11 hari iaitu pada 13, 14, 30 dan 31 Mac, 4, 5 April, 22, 29, 31 Mei serta 14 dan 15 Jun.

Terdahulu, Emilia ketika sesi pemeriksaan utama oleh Nur Aishah sempat memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah pelajar cemerlang dan pernah menyambung pengajian di United Kingdom (UK).

“Saya pelajar cemerlang dan mendapat Pangkat 1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana saya berjaya mendapat biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke UK. Saya memperoleh anugerah cemerlang dan berprestij dalam bidang ekonomi selain mendapat tempat kedua di seluruh UK,” katanya.

Bagaimanapun peguam bela S.M Faisal Datuk Akberdin Abdul Kader membantah dengan berkata, keterangan saksi itu tidak relevan dengan pertuduhan kes dan sebaiknya pernyataan saksi bertulis diserahkan kepada mahkamah bagi menjimatkan masa.

Pada prosiding perbicaraan lalu, Emilia memberitahu sejak menjadi ibu tunggal, dia terpaksa banyak membuat kerja-kerja sambilan antaranya menjual makanan bagi menampung kehidupan.

Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI