PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan lebih banyak stesen minyak tanpa subsidi akan diwujudkan menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam nada optimis berkata, pihaknya yakin stesen berkonsepkan sedemikian dapat dikembangkan pada hujung suku ketiga 2023.
“Insya-Allah, kita ada sasaran dalam masa enam bulan lagi, stesen minyak tanpa subsidi diperluaskan di semua negeri bersempadan negara asing,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Microsite Francais Malaysia di sini hari ini.
Beliau pada ucapannya membayangkan idea inovasi KPDN itu bakal dibuka di Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak namun tidak memperincikan bilakah pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, projek tersebut dijangka mampu membendung isu ketirisan petrol dan diesel bersubsidi yang dianggarkan berjumlah hampir RM150 juta setahun.
“Ini antara penyelesaian paling praktikal dan saya sudah edar nota dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu agar konsep stesen ini dikembang ke negeri-negeri lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE