KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan lapan individu bakal bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO kali ini.
Ahmad Zahid berkata, jumlah itu adalah muktamad walaupun Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut pada pemilihan semalam.
“Setakat ini, bagi jawatan Naib Presiden adalah lapan orang yang disahkan bertanding walaupun kita tahu Zambry telah tarik diri jumlah yang bertanding tetap lapan orang,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) di sini, hari ini.
Lapan individu yang bakal bertanding termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Turut bertanding Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohamad, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Namun semalam, Ahli MKT UMNO, Zambry mengumumkan akan menarik diri sebagai calon Naib Presiden UMNO bagi pemilihan kali ini.
Menerusi kenyataannya beliau berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar dalam kerajaan baharu ini.
Tambahnya, pada pemilihan ini juga menyaksikan 93 individu menawaran diri bagi jawatan MKT, Ketua Wanita (dua), Ketua Pemuda (lima), Ketua Puteri (enam), Exco Wanita (61), Exco Pemuda (122) dan Exco Puteri (42).
Ditanya mengenai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatannya kali ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, itu merupakan hak beliau dan pihak parti sentiasa menghormati keputusan dilakukan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan wujudnya beberapa kem dalam pemilihan kali ini, katanya, ia tidak wujud dan semua ahli hanya berpegang pada prinsip UMNO.
“Ada kem, satu kem sahaja iaitu kem UMNO Malaysia dan dakwaan itu tidak wujud,” ujarnya.
Bermula hujung minggu ini ujarnya, beliau akan mengetuai rombongan memperkenalkan kesemua calon yang bertanding kepada seluruh ahli UMNO sepanjang pemilihan dijalankan.
“Saya akan mengetuai rombongan memperkenalkan calon-calon yang bertanding jawatan yang berada di peringkat nasional mulai hujung minggu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE