BAU – Lima pelajar dari Kampung Segubang terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk menghantar mereka ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini, pagi tadi.
Ia apabila kesemua pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake itu terkandas disebabkan jalan di kampung mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat tanpa henti pada malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem berkata, pelajar terbabit terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.
“Kami dihubungi oleh Ketua Kampung termasuk pelajar terbabit untuk membantu mereka melintas laluan yang terputus akibat daripada limpahan air sungai.
“Setelah mendapat arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau, kami segera ke lokasi untuk mengambil mereka kira-kira pukul 7 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menjelas lanjut, Tawang berkata, pihaknya menggunakan sebuah bot untuk membawa pelajar-pelajar terbabit melintas laluan yang ditenggelami air.
Selepas itu, katanya kesemua pelajar itu dihantar ke sekolah menggunakan sebuah lori.
“Kesemua pelajar berkenaan selamat sampai di SMK Lake dalam kedaan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE