fbpx

Mahkamah: Lelaki tikam pesakit di Hospital Selayang diarah jalani psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. FOTO FIRDAUS JOHARI

SELAYANG – Seorang lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dua minggu lalu, diarah menjalani pemeriksaan psikiatri (mental) oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd. Khairul Kamul, 22, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri berikutan keadaan mental tertuduh tidak stabil.

“Pihak pendakwaan membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh adalah tidak stabil.

“Sebelum ini tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang sejak 15 Februari 2023,” katanya Wan Nur Iman.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul didakwa telah sengaja mendatangkan cedera parah terhadap V. Satish Rao, 29, di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang di sini pukul 3.45 petang pada 14 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh smpai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Semasa prosiding selepas pertuduhan dibacakan tertuduh hanya mengangguk tanda faham, namun tidak menyatakan sebarang pengakuan. Sebaliknya tertuduh hanya mengatakan dia berhalusinasi ketika kejadian.

“Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak dan pada sama tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Tarikh 29 Mac ini ditetapkan bagi sebutan semula kes dan laporan psiakitri tertuduh.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.

Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Mangsa kini dilaporkan stabil.

Sejurus selepas kejadian Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bergegas ke hospital tersebut.

Beliau bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Pengarah Hospital serta pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu keluarga mangsa.

Ia bagi menjelaskan keadaan yang berlaku termasuk usaha-usaha yang telah dilakukan dalam memastikan pesakit diberikan rawatan yang terbaik.

Kemudian pada 20 Februari lalu, polis Selangor dalam satu sidang akhbar memaklumkan suspek lelaki berusia 22 tahun yang menikam pesakit di hospital itu dikatakan terlebih dahulu mengamuk di rumah kakaknya.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati, ahli keluarga tidak dapat mengawal suspek yang kemudian telah menghubungi pihak polis bagi membawanya ke hospital berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI