AMPANG JAYA – Seramai 1,000 peserta bakal berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai hampir RM17,000 dalam Cabaran Joran Ampang Jaya di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya di sini pada Ahad ini.
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, program memancing itu diharap dapat meningkatkan promosi pelancongan domestik di kawasan tasik di Ampang Jaya selain merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.
Katanya, Cabaran Joran Ampang Jaya dianjurkan oleh MPAJ dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Zon 21.
“Lebih 10 tahun tiada pertandingan memancing yang diadakan di sini dan berharap warga Ampang Jaya tidak melepaskan peluang untuk hadir beraksi dan berkumpul bersama keluarga di sini.
“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing di mana spesis tilapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram (g) hingga 10 kilogram (kg).
“Menariknya, Tasik Pandan Perdana begitu dekat dengan Kuala Lumpur dan ini memberi peluang kepada kaki-kaki pancing terutamanya sekitar Lembah Klang untuk hadir,” katanya selepas melepaskan lebih 500 kilogram ikan spesies patin di tasik itu dengan berat antara tiga kilogram (kg) hingga lima kilogram kelmarin.
Mohd. Fauzi berkata, selain memancing, peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga.
“Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Ampang Jaya dengan aktiviti sihat,” jelasnya lagi
Beliau berkata, juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), keempat hingga ke-10 (RM200), tempat ke-11 hingga 30 (RM150), tempat ke-31 hingga 70 (RM100) dan tempat ke-71 hingga 100 (RM50).
“Hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga tempat ketiga serta hadiah cabutan bertuah antaranya TV 40 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta.
“Pihak penganjur utama telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna, ayaman kitar semula dan lain-lain.
“Hadiah misteri spesis Arapaima bernilai RM1,000 sumbangan YDP kepada mana-mana pemancing yang berjaya menaikkan spesis ini malah boleh turut memenangi hadiah utama pertandingan ini nanti berdasarkan kepada berat seekor ikan yang dipertandingkan,” katanya lagi.
Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan 500 penyertaan awal akan menerima baju sumbangan penaja.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai pukul 3 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Untuk pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-3370961, 018-3184932, 013-266 1077, 013-305 2811 atau 012-284 6811 atau layari laman facebook.com/jorankl. – KOSMO! ONLINE