fbpx

Longgokan sampah ‘ragut’ keindahan Pantai Geting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian sisa kayu dan sampah yang dipercayai dihanyutkan ombak serta dibuang orang ramai ketika berkunjung ke Pantai Geting, Tumpat baru-baru ini. – AIMUNI TUAN LAH

TUMPAT – Sikap segelintir pe­ngunjung yang suka membuang sampah sesuka hati menyebabkan pemandangan Pantai Geting dekat sini tidak lagi indah hingga menjejaskan kedatangan pelancong ke situ.

Tinjauan mendapati, meski­pun kira-kira 10 buah tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan, masih ba­nyak longgokan bahan buangan seperti bekas makanan, botol minuman dan sisa makanan yang di­tinggalkan pengunjung selepas beriadah atau berkelah.

Seorang pengunjung, Saidin Ramli, 33, berkata, sisa sampah sarap yang dibiarkan di tepi pantai itu dipercayai ditinggalkan orang ramai yang berkunjung ke pantai itu sejak minggu lalu.

Katanya, selain sampah, sisa kayu lama yang dihanyutkan ombak juga menjejaskan pemandangan mata.

“Saya berasa sedih apabila kedatangan dari Kuala Krai ke sini disambut dengan sampah hingga menghilangkan seri pantai ini.

“Pantai Geting sangat cantik pada waktu petang terutamanya ketika matahari terbenam. Saya pernah singgah di sini beberapa tahun lalu dan keadaanya berubah kali ini apabila banyak sisa-sisa sampah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Fariza Mustafar, 40, juga berkata, dia juga kecewa dengan sikap segelintir orang ramai yang gemar membuang sampah ketika berkunjung di kawasan itu.

Katanya, selaku orang Kelantan, dia malu dengan sikap pengunjung yang tidak pandai menjaga kebersihan di kawasan umum.

“Saya melihat tong sampah ada disediakan oleh pihak berkuasa, namun sisa sampah masih ditinggalkan di pesisir pantai.

“Saya berharap orang ramai yang berkunjung ke pantai ini terutamanya ketika musim cuti sekolah dapat bersama-sama menjaga kebersihan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong luar.

“Setiap daripada kita mempunyai akal untuk berfikir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI