LONDON – Pengurus Chelsea, Graham Potter seakan mula pasrah memikirkan masa depannya selepas sekali lagi mengalami kekalahan apabila tunduk 0-2 kepada Tottenham Hotspur kelmarin.
Keputusan itu nyata meningkatkan lagi tekanan buatnya, namun Potter enggan bersikap menuding jari kepada mana-mana pihak dan merasakan dirinya tidak lagi boleh bergantung kepada nasib.
“Akan selalu ada soalan tentang perkara ini (masa depannya). Kamu juga tidak boleh berhenti untuk menanyakannya selepas keputusan yang kami raih dalam perlawanan ini.
“Kami perlu terima dan saya belum lakukan secukupnya untuk dapat lebih banyak kepercayaan. Saya terima semua ini, namun tugas saya bukan untuk terlalu risau dengan masa depan saya.
“Saya faham, tetapi saya perlu kekal berikan fokus terhadap pasukan dan bantu pemain. Mereka adalah pemain yang baik dan sentiasa mahukan kemenangan, namun semua yang berlaku ketika ini adalah di bawah tanggungjawab saya,” katanya.
Kekalahan kali ini menyaksikan The Blues gagal raih sebarang kemenangan dalam lapan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dan sekadar meraih empat seri dan menanggung empat kekalahan untuk aksi di tempat lawan.
Ini adalah rekod kedua terburuk selepas kemarau kemenangan dalam 16 perlawanan yang dicatatkan ketika April 2000 hingga Mac 2001.
“Saya perlu fokus kepada apa yang saya boleh kawal iaitu apa yang akan dilakukan pada keesokan dan juga sesi latihan seterusnya. Penyokong juga perlu bersikap adil dan teruskan beri sokongan kepada pasukan,” jelasnya. – AGENSI