LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe bersedia untuk menukarkan kekecewaan mereka tewas pada aksi final Piala Liga Inggeris kali ini untuk kembali semula ke Wembley pada aksi final pada kejohanan akan datang.
Beliau mengakui kekalahan 0-2 kepada Manchester United awal pagi semalam adalah perkara yang biasa berlaku kepada pasukannya apabila mereka mampu bermain dengan baik, tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Bagaimanapun, Howe mengakui perjalanan mereka ke final kali ini selepas 24 tahun tidak berada di pentas akhir mana-mana kejohanan adalah permulaan yang hebat untuk mereka terus berkembang menjadi kelab yang berjaya nanti.
“Perasaan kalah di pentas akhir sudah pastinya tidak begitu baik dan kami berasa sangat kecewa. Namun, pada saya anda perlu melihat masa depan, ia membuatkan anda berasa terdesak untuk kembali lagi ke sini (Wembley) dan memenangi trofi.
“Para penyokong sudah pasti sangat menakjubkan buat kami semua musim ini dan melihat pemain kecewa adalah suatu yang menyedihkan. Motivasi dan fikiran kami ketika ini adalah bagaimana untuk kami kembali lagi ke sini.
“Namun, kami perlu meningkatkan lagi kemampuan pasukan. Kami tidak boleh berasa selesa dan berpuas hati serta perlu membuktikan bahawa kami layak untuk berada di pentas final lagi selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Howe menolak tanggapan bahawa Newcastle terlalu memberikan fokus kepada pemburuan kelompok empat pasukan terbaik sehingga menyebabkan mereka gagal memberikan aksi terbaik awal pagi semalam.
“Saya tidak fikirkan demikian. Para pemain memberikan respons yang sesuai dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Mereka berdepan kekecewaan hari ini dan selepas ini kami perlu berdepan tugas berat pada aksi liga menentang Manchester City. Ia menjadi cabaran yang besar buat kami, tetapi kami gembira untuk melakukannya,” jelasnya. – AGENSI