LONDON – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag memuji aksi cemerlang yang dipamerkan pemain tengahnya, Casemiro yang membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Piala Liga Inggeris menewaskan Newcastle United 2-0 awal pagi semalam.
United menamatkan penantian hampir enam tahun tanpa sebarang kejuaraan menerusi kemenangan tersebut selepas meraih dua gol menerusi Casemiro dan gol sendiri, Sven Botman ketika menghalang sepakan Marcus Rashford.
Selain Casemiro, Ten Hag turut memberikan penghargaan aksi cemerlang dipamerkan oleh Raphael Varane dan penjaga golnya, David De Gea yang beberapa kali menyelamatkan gawang United daripada dibocori.
“Mereka tahu bagaimana untuk memenangi trofi. Anda perlukan pemain seperti mereka ini untuk membuatkan pasukan lebih tersusun, terutama aspek mental apabila mereka membawa sikap untuk memenangi setiap perlawanan ke bilik persalinan,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang dilakar pada aksi kali ini adalah bukti bahawa keputusannya untuk meninggalkan Ajax Amsterdam kira-kira 10 bulan lalu adalah bukan suatu kesilapan.
“Ia mungkin satu risiko (meninggalkan Ajax), tetapi saya sangat menyukai United. Apabila saya melihat jersi pasukan, penyokong, Old
Trafford dan legasi yang ditinggalkan Sir Alex Ferguson serta pemain-pemain hebat yang dilahirkan, saya mahu melakukan perkara yang sama.
“Pasukan ini mahu mencipta sejarah dan apabila peluang itu tiba, mereka tidak mensia-siakannya. Saya fikir ini adalah kelab yang sesuai untuk saya dan saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka,” jelas Ten Hag. – AGENSI