fbpx

Turkiye siasat 600 pemaju hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 160,000 bangunan runtuh atau rosak teruk akibat gempa bumi kuat di Turkiye pada 6 Februari lalu. – AFP

LONDON – Lebih 600 kontraktor binaan dan pemilik hartanah disiasat berhubung bangunan-bangunan yang runtuh akibat gempa bumi dahsyat yang meragut sekurang-kurangnya 50,000 nyawa di Turkiye, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Hujung minggu lalu, Menteri Kehakiman Bekir Bozdag berkata, seramai 184 suspek telah ditangkap.

Lebih 160,00 bangunan runtuh atau rosak teruk di Turkiye dalam siri gempa bumi dahsyat itu dengan gegaran paling kuat berukuran 7.8 pada skala Richter.

Sebilangan individu mempersoalkan sama ada impak gempa bumi itu menjadi lebih buruk kerana pembinaan hartanah yang tidak selamat, manakala pakar-pakar telah memberi amaran mengenai isu tersebut selama bertahun-tahun.

Di Turkiye di mana undang-undang pembinaan jarang dikuatkuasakan, menyaksikan sebilangan bangunan yang tidak menepati piawaian kejuruteraan gempa bumi runtuh dan menghempap penduduk awam semasa bencana alam itu pada 6 Februari lalu.

Pakar-pakar pembinaan menuduh Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai gagal menguatkuasakan peraturan bangunan. Kegagalan itu membawa kepada kemusnahan yang meluas.

Antara mereka yang ditangkap termasuk seorang datuk bandar yang mana bandarnya terjejas teruk akibat gempa bumi itu, demikian menurut media Turkiye.

Sebanyak 9,000 gegaran susulan dikatakan turut berlaku.

Awal bulan ini, kerajaan mendedahkan bahawa seorang pemaju hartanah yang membina sebuah bangunan menempatkan 249 unit apartmen telah ditangkap. Bekas bintang Chelsea, Christian Atsuin meninggal dunia apabila bangunan itu runtuh.

Pemaju berkenaan, Mehmet Yasar Coskun ditahan di sebuah lapangan terbang di Istanbul kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan pembinaan bangunan tersebut.

Mehmet menafikan cuba melarikan diri ke luar negara dan berkata, dia dalam perjalanan ke Montenegro kerana mempunyai projek lain di sana.

Pemaju itu dilaporkan memberi keterangan bahawa dia tidak tahu menahu kenapa bangunan yang dibina gagal bertahan dalam dua gempa bumi kuat yang melanda rantau terbabit.

Peguamnya berkata bahawa orang ramai mencari kambing hitam selepas pihak berkuasa Turkiye mengeluarkan 113 waran tangkap berkaitan kerja-kerja pembinaan di seluruh negara itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI