PEMILIHAN material kulit dalam penggayaan harian meliputi produk seperti tas tangan, kasut dan juga jam tangan sudah sekian lama menjadi pilihan, oleh kerana pesona yang dimiliki bahan itu.
Selain tahan lama, produk fesyen yang diperbuat daripada kulit juga mampu menyerlahkan sisi elegan dan sogistikated pada pemakai.
Label barangan kulit terkenal dari Singapura iaitu Carlo Rino baru-baru ini mengorak langkah dengan memperkenalkan dua koleksi baharu dengan gaya yang lebih versatil dan sesuai dengan semua peringkat umur.
Koleksi diberi nama Orion Puffer dan Carlo GEO Jacquard itu mempertaruhkan gaya menarik menerusi rangkaian produk fesyen seperti kasut sniker, tas tangan, pemegang kad dan juga jam tangan rona lembut.
Jika dilihat, penggunaan rona-rona lembut seperti coklat cair dan juga ungu lembut menyuntik gaya sofistikated buat wanita moden.
Menurut kenyataan Carlo Rino berkenaan koleksi Orion Puffer, rona seperti ivory dan lavender dipilih bagi tas tangan daripada koleksi itu sesuai buat mereka yang sukakan gaya mewah.
“Tas tangan Orion Puffer Crossbody dan juga The Puffer Mini Crossbody daripada koleksi ini bukan sahaja tampil mewah, malah juga sesuai dipadankan dengan apa jua persalinan yang digayakan.
“Justeru, ia menjadi item harus dimiliki oleh mana-mana wanita yang amat mementingkan gaya ringkas, namun sofistikated pada penampilan harian,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua tas tangan itu juga dilengkapi ruang penyimpanan yang luas sekali gus tidak mengehadkan barangan yang boleh dibawa di dalamnya.
Selain itu, bentuk tas tangan The Puffer Mini Crossbody yang unik juga membuatkannya menyerlah dan lain daripada yang lain, tanpa sedikit pun mengurangkan fungsi sebuah tas tangan.
Bagi kasut dalam koleksi Orion Puffer pula, Carlo Rino memilih rona putih sebagai rona asas, yang kemudiannya diserikan dengan kilauan rona perak di bahagian tepi kasut.
Hasilnya, kasut yang diberi nama Metallic Sneakers itu tampak ranggi dan mampu membuatkan pemakainya menjadi perhatian.
Potongan minimalisnya juga adalah bagi memberikan keselesaan berterusan tatkala digayakan.
Koleksi GEO Jacquard pula lebih mementingkan elemen timeless, sesuai buat wanita bercita rasa mewah.
“Rona lembut dengan padanan logo CR pada tas tangan menambah gaya sofistikated dan klasik pada koleksi ini.
“Suntikan rona hitam dan emas yang elegan juga menjadikan koleksi ini sebagai aksesori sempurna untuk digayakan pada sebarang majlis,” tulisnya.
Terdapat lima tas tangan yang ditawarkan di bawah koleksi ini seperti Carlo GEO Jacquard 2-Way Bag dan Carlo GEO Jacquard Shoulder Bag.
Kesemua tas tangan dalam koleksi ini menekankan ciri versatil menerusi pemilihan rona selamat iaitu hitam dan putih yang pastinya mudah dipadankan dengan apa jua pakaian.
Buat yang mencari jam tangan baharu pula, Carlo Rino menawarkan jam tangan Carlo GEO Mini Timepiece dengan muka bulat, yang didatangkan dalam dua rona menarik iaitu hitam dan merah jambu.
Motif CR pada permukaan jam menambah elemen klasik dan keanggunan pada aksesori itu.
Koleksi Orion Puffer dan GEO Jacquard boleh didapatkan pada harga antara RM179 sehingga RM499.