fbpx

Gaji sudah masuk, pelancongan Terengganu kembali ‘bernyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai mula membanjiri Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Kesu­raman industri pelancongan Terengganu pada awal musim cuti persekolahan semakin pulih apabila pengunjung mula kembali mengunjungi destinasi menarik di negeri ini pada hujung minggu lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang, di sini yang merupakan lokasi tumpuan pelancong agak lengang sebelum ini kembali padat dengan pelancong sejak Sabtu lalu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff berkata, senario terbaharu ber­kenaan amat melegakan peniaga-peniaga Pasar Besar Kedai Pa­yang.

Beliau berkata, mereka pada mulanya agak gelisah apabila pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu tersebut sunyi pada awal musim cuti persekolahan bermula 17 Februari lalu.

“Kegiatan perniagaan Pasar Besar Kedai Payang sebenar­nya sudah mula merosot sejak awal Februari lagi. Alhamdulillah pelancong dari luar Terengganu kembali datang sejak Sabtu lalu.

“Boleh dikatakan kehadiran pengunjung kembali kepada kira-kira 60 peratus daripada kapasiti biasa pernah kami terima pada setiap cuti persekolahan,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Zakaria berkata, antara produk yang laris dicari pengunjung ialah keropok lekor, kain pasang, batik dan barangan kemas.

Beliau percaya ramai mula bercuti sempena musim cuti persekolahan ini setelah me­nerima gaji masing-masing pada hujung minggu lalu.

“Terima kasih juga terhadap penganjuran banyak program dan karnival pelancongan di sekitar negeri ini pada hujung minggu lalu.

“Ia menggalakkan ramai me­ngunjungi Terengganu untuk menyertai karnival tersebut sekali gus meningkatkan ekonomi setempat termasuk di Pasar Besar Kedai Payang ini,” katanya.

Khamis lalu Kosmo! melaporkan kadar kedatangan pelancong ke Terengganu pada musim cuti persekolahan ini dianggarkan merosot sekurang-kurangnya 30 peratus.

Ramai percaya ia disebabkan ramai berjimat cermat memandangkan penggal persekolahan baharu dan Ramadan bakal tiba hampir serentak pada hujung bulan depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI