PETALING JAYA – Dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful dan Perikatan Nasional (PN) adalah tuduhan yang sangat melampau.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tuduhan ini adalah satu fitnah yang melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang berlaku dalam PN itu sendiri.
Jelasnya, tuduhan tersebut telah dibuat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muyhiddin Yassin dan disokong Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.
“PN menyatakan pendakwaan rasuah ahlinya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah tindakan yang telah dirancang. Jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah dalam parti itu.
“Tindakan menuding jari dilihat untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri.
“Hari ini, satu surat tuntutan (Letter of Demand) telah dihantar oleh pihak guaman kepada penama Muyhiddin dan Azmin Ali sebagai tindakbalas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, fitnah liar itu tidak boleh dibiarkan berlarutan serta dijadikan bahan untuk menipu dan meloloskan diri daripada daripada kesalahan dan jenayah yang telah dilakukan.
Ujarnya lagi, dalam Letter of Demand (LOD) yang dihantar, kedua-dua penama tersebut mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan fitnah yang telah dibuat.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin PN, sebaliknya terus fokus menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa. – KOSMO! ONLINE