fbpx

Pantai Puteri makin panas, lepas 20 batang pokok ru ditebang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TINDAKAN memotong pokok ru di Pantai Puteri bukan sahaja mencacatkan permandangan malah suasana kini menjadi lebih panas untuk aktiviti riadah pengunjung. - SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Tindakan menebang lebih 20 batang pokok ru di Pantai Puteri, di sini pada Disember tahun lalu mengakibatkan lokasi itu semakin panas dan tidak lagi menjadi tumpuan pengunjung.

Akibatnya suasana musim cuti persekolahan di negeri ini menjadi suram sehingga peniaga dan pengusaha chalet di kawasan tersebut mengeluh.

Pengusaha Chalet Puteri Qashrina, Nor Azman Hassan berkata, 59, pemandangan pokok ‘togel’ itu menyebabkan pelancong tidak tertarik untuk berhenti dan menginap, malah tempahan chaletnya juga hanya mencecah 70 peratus.

“Kalau hari Jumaat dan hujung minggu memang tempahan penuh tetapi pada hari biasa hanya mencecah 70 peratus.

“Kita lihat antara faktor menyebabkan suasana suram ini adalah keadaan pokok ru di kawasan ini yang hanya tinggal tunggul dan menyebabkan suasana menjadi lebih panas untuk aktiviti riadah,” katanya di sini semalam.

Maizatul menunggu pelanggan di Pantai Puteri, Melaka yang sudah hilang seri selepas pokok ru di lokasi itu ditebang. – SYAFEEQ AHMAD

Sementara itu, pemilik kedai Asam Pedas Pokok Ketapang, Maizatul Aini Basri, 37, berkata, kini jualannya merosot lebih 50 peratus selepas pokok ru di pesisiran pantai itu ditebang pada Disember tahun lalu.

“Dulu saya boleh jual lebih 100 keping ikan atau set nasi pada hari biasa, sekarang ini nak habiskan 50 set nasi pun susah.

“Pengunjung sudah tidak datang sini sebab suasana jadi panas, habis pokok di sini semua ditebang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.

Ujarnya, perkara itu te­lah disua­rakan kepada pihak berwajib, namun tiada sebarang tindakan atau inisiatif mengembalikan daya tarikan pantai itu.

“Kami mohon agar kerajaan negeri buat sesuatu atau wujudkan daya tarikan baharu, pendapatan kami di sini merosot teruk, malah ada antara peniaga adalah pasangan suami isteri yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan,” katanya.

Tambahnya, kini para peniaga mengambil inisiatif sendiri menanam semula pokok ketapang, namun sudah tentu mengambil masa lama untuk membesar dan rimbun.

Kosmo! pada 22 Disember 2022 melaporkan, tindakan membiarkan longgokan sisa pokok-pokok yang ditebang di Pantai Puteri bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan pendapatan peniaga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI