PETALING JAYA – Seorang bekas pensyarah menerusi Facebook Harniza Abd Razak yang lumpuh separuh badan akibat strok, menawarkan kepakaran dimiliki bagi menanggung keperluan hariannya.
Dr. Harniza di laman Facebook Kuala Terengganu Residen berkata, beliau juga berpengalaman memberi ceramah di sekolah-sekolah, politeknik malah pernah menjadi tenaga pengajar serta pemeriksa Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).
“Saya Dr. Harniza, orang kurang upaya (OKU) lumpuh sebelah badan akibat strok, kanser dan penghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
“Saya ingin tawarkan kepada mana- mana institusi untuk kongsi pengalaman dan kepakaran saya yang berkelulusan dalam bidang Bahasa Inggeris dari Nottingham dan Universiti Islam Antarabangsa (ijazah kedoktoran (PhD).
“Saya cuma ingin menumpang nasib mencari institusi yang sudi gunakan khidmat saya. Bayaran ikut jam dan boleh runding,” katanya.
Dr. Harniza berkata, beliau juga boleh memberi ceramah motivasi berkaitan pengalaman menentang strok, kanser dan SLE dalam perjuangan memiliki PhD.
“Mana-mana individu atau institusi yang inginkan khidmat saya, boleh PM (Facebook Harniza Abd Razak). Saya perlukan sumber kewangan untuk kelangsungan hidup kerana duit yang ada sekadar cukup beli lampin pakai buang.
“Untuk makluman, saya masih dalam proses rawatan dan harap ada rezeki saya untuk berkhidmat untuk ummah, sesuai dengan kepakaran saya, terima kasih,” tulisnya di Facebook. – KOSMO! ONLINE