PETALING JAYA – Sejak kisah putus cinta bersama pelakon Janna Nick dicanang media, sehingga kini , baik Janna mahupun kekasihnya Dini Schatzmann, masing-masing masih mengelak daripada memberi hitam putih tentang perkara tersebut.
Lama mengunci mulut, Dini tampil dengan satu kenyataan yang menambahkan tanda- tanya tentang hubungannya bersama bekas pengacara Melodi itu.
Dini, 29, meminta semua pihak termasuk media dan peminat bersabar dengan pengumuman yang disifatkan agak besar tersebut.
“Kami ada berita yang hendak dikongsikan kepada semua tidak lama lagi. Berita besar antara saya dan juga Janna. Kalau nak tahu kena tunggu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ketika diminta untuk berkongsi butiran terperinci tentang pengumuman tersebut, Dini atau nama lengkapnya Dini Azan Schatzmann memberitahu berita itu melibatkan hal peribadi antara dirinya dan penyanyi lagu Gatal itu.
“Pengumuman itu nanti melibatkan hal peribadi kami. Saya akan kongsikannya nanti,” katanya.
Kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Switzerland itu lagi, dia mengambil masa untuk berkongsi perihal peribadinya kerana menunggu masa yang sesuai untuk dihebahkan.
“Saya ambil masa sebab bagi saya, setiap perkara memerlukan masa dan perancangan. Buat masa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kami kongsikan apa-apa.
“Tapi insya-Allah nanti kami akan umumkan,” jelasnya.
Ketika disoal tentang hubungannya dengan Janna buat masa ini, pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan itu berkata mereka masih berkawan baik dan tidak bergaduh seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.
“Saya dengan Janna baik. Kami tak pernah tak baik. Kalau tanya status antara saya dengan dia, kami tidak boleh beritahu apa-apa jawapan.
“Malah kami saling menyokong antara satu sama lain. Kami masih bekerjasama dan berlakon sama,” kata Dini yang ditemui di majlis Anugerah Gempak Most Wanted di MBSA, Shah Alam, malam tadi.
Sekitar Disember tahun lalu, Dini menegaskan bahawa dia enggan memberikan sebarang komen mengenai spekulasi putus cintanya bersama Janna dan menolak dakwaan kisah tersebut hanya sekadar gimik semata-mata.
Desas-desus mengenai keratakan hubungan Dini dan Janna mula hangat diperkatakan apabila pelakon dan juga penyanyi wanita itu memuat naik status sedih seakan-akan memberi bayangan sudah putus cinta.
Hubungan cinta Dini dan Janna bermula apabila mereka bekerjasama dalam drama bersiri Bukan Cinta Aku sekitar 2018 yang turut menjalani penggambaran di Itali. – KOSMO! ONLINE