KOTA BHARU – Keluarga kepada seorang tukang jahit mendakwa dia mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila sebuah rumah banglo musnah dalam kebakaran di Kubang Kerian di sini petang tadi.
Kejadian kira- kira pukul 3.25 petang itu turut memusnahkan hampir enam unit mesin jahit, kain dan baju pelanggan.
Ketika kejadian, mangsa, Che Esah Wang Lah 58, dan suami, Hanapi Saamah, 67, tiada di rumah kerana berada di rumah anak mereka, Siti Fazlin Farahani, 35, di Kampung Peringat, Melor.
Siti Fazlin Farahami ketika ditemui berkata, dia mengetahui mengenai kejadian kebakaran rumah ibu bapanya itu kira-kira pukul 3.25 petang selepas dihubungi jiran keluarganya.
Katanya, jiran memaklum bahawa mereka ternampak api di bahagian beranda tingkat atas rumah sebelum menghubungi adiknya yang berada di tingkat bawah.
“Sebaik menerima panggilan, saya bergegas balik dan melihat pasukan bomba sedang memadam kebakaran di tingkat atas.
“Akibat kebakaran itu, enam unit mesin jahit kain dan baju pelanggan gagal diselamatkan kerana api terlalu cepat merebak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di tempat kejadian hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian adik bersama dua anaknya berada di tingkat bawah dan hanya menyedari selepas dimaklumkan oleh jiran.
Katanya, sejumlah wang tunai dan barangan berharga milik ibu bapanya turut musnah selepas tidak sempat diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ei Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira- kira pukul 3.55 sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.
Katanya, tiga jentera dengan kekuatan anggota seramai 30 orang bertungkus lumus memadam kebakaran dan sebahagiab rumah itu berjaya diselamatkan.
“Kita terpaksa minta bantuan lori tangki air kerana bekalan air di kawasan berkenaan tidak mencukupi ” katanya.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5.21 petang,” katanya- K! ONLINE