PETALING JAYA – “Macam-macam dia komen, kata kita langgar negeri orang, masjid tak reti bahasa nak langgar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), nak langgar Sultan. Apa benda ni ingat aku bodoh?”
Itu respon spontan pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus ketika mengulas tentang punca pembatalan ceramahnya di Selangor, baru-baru ini.
Jelasnya, pihaknya sedia maklum tentang larangan penceramah tanpa tauliah berkuliah di negeri itu, lalu mengusulkan supaya surat sokongan disediakan bagi tujuan berkenan.
“Kita tau dah dari zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan 22 bulan memang tak boleh di Selangor sebab dia nak yang bertauliah saja. Kita mengajar di Kuala Lumpur (KL), cuma masjid di Bukit Jelutong minta juga.
“Kami pun kata boleh, cuma sediakan surat sokongan barulah kami boleh pergi dan mohon tauliah sementara untuk malam itu saja. Mereka mohon dan selesai semua benda tapi dibatalkan.
“Kami akur, tukar ke Kampung Pandan tak ada isu pun? Masjid (Bukit Jelutong) rayu, tak boleh rayu. Mereka rayu sekali lagi tak boleh. Jadi kita ambil keputusan pindah ke KL. Kenapa mu koyak? Bukan kita marah pun,” tegasnya.
Dalam masa sama, Azhar tidak menafikan keperluan tauliah kepada penceramah, namun turut berpesan kepada hadirin yang hadir supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa jika memilikinya kelak.
“Nasihat saya kamu nanti kalau jadi menteri, jadi orang yang ada kuasa, gunakan kuasa untuk luaskan ilmu Allah dan gunakan kuasa kamu untuk sekat maksiat.
“Isu tauliah memang dibenarkan syarak kerana nak kawal daripada penceramah ajaran sesat. Yang ada ajaran sesat hendaklah dihalang. Memang betul dibolehkan tapi jangan gunakan untuk nafsu,” katanya menerusi video di Facebook.
Semalam, Kosmo! melaporkan UAI mengadakan ceramah di Masjid Al- Mubarakah, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini setelah Kuliah Maghrib Perdana yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong sebelumnya, dibatalkan. – KOSMO! ONLINE