fbpx

Polis buru penunggang motosikal buat provokasi di jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek memberhentikan motosikalnya di tengah jalan dan melakukan provokasi kepada salah seorang pemandu kenderaan.

KUCHING – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melulu serta melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ia susulan pihaknya mengesan satu video berdurasi 2 minit 59 saat yang menunjukkan tindakan lelaki terbabit tular di media sosial, semalam.

Katanya kejadian dipercayai berlaku pada 25 Februari lalu kira-kira pukul 3.10 petang di Jalan Tabuan Tranquality.

“Video tersebut memaparkan sebuah motosikal nombor pendaftaran QAB649B yang ditunggang oleh seorang lelaki tidak memakai topi keledar telah menunggang secara melulu serta melawan arah jalan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon menambah setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

“Pihak polis memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkenaan penunggang motosikal terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI